1) Sifat redha
adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.
2) Pengertian redha
ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t.
baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada
Allah s.w.t.
3) Redha terhadap
Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
Redha Menerima
hukum Allah s.w.t. :
Redha menerima
hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan
iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima
peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau
dipaksa.
Merasa tunduk dan
patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima
syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari
mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni
serta tulus ikhlas kepadaNya.
Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang
beriman hingga mereka menjadikanmu (Muhammad) hakim dalam apa yang mereka
perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati
mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh
- sungguh ". (Surah An-Nisaa' : Ayat 65)
Dan firman Allah
s.w.t yang bermaksud : " Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan
apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi kami, Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya, Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
(Surah At Taubah : Ayat 59)
Pada dasarnya
segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah, hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan
larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .
Itulah sifat redha
dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap
orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima
hukum-hukum Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (yang
munafik) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang
diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". (Surah Muhammad : Ayat 26)
Andaikata mereka
ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka
melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran
perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum
Allah s.w.t., yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman
dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.
Redha Dengan
Qada' :
Redha dengan qada'
iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik
berupa nikmat mahupun berupa musibah (malapetaka). Didalam hadis diungkapkan
bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka
memuji Allah s.w.t. iaitu mereka memuji Allah (bertahmid) baik dalam keadaan
yang susah mahupun di dalam keadaan senang.
Diberitakan
Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".
Dan apabila
kedatangan perkara yang tidak menyenangkan, Baginda mengucapkan :
"
Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".
Perintah redha
menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda
yang lain yang bermaksud :
" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu
janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan
begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan
dan apa yang ia suka, ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan :
andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat
Muslim)
Sikap redha dengan
mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. ketika mendapat kesenangan atau
sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :
Pertama :
Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan
terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah
sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.
Kedua :
Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah
yang paling baik, dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang
berkaitan dengan diri sendiri.
Sabda Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud : " Demi Allah yang jiwaku ditangannya! Tidaklah
Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi
kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika ia
memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya, dan jika
ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
(Riwayat
Muslim)
Redha Dengan
Rezeki Yang Ada :
Di dalam konteks
redha pada menerima ketentuan Ilahi, juga termasuk redha (qana'ah) menerima
rezeki yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. banyak atau sedikitnya. Didalam sifat
qana'ah dengan pemberian Allah itu terdapatnya mutiara kebahagiaan bagi orang
mukmin.
Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud :" Sungguh berbahagialah orang yang masuk Islam ,
rezekinya sederhana dan berhati puas (qana'ah) menerima segala pemberian Allah
".
(Riwayat Muslim)
Dan Rasulullah
s.a.w. bersabda yang bermaksud : " Berbahagialah siapa yang ditunjuki ke
dalam Islam, penghidupan yang sederhana dan (qana'ah) merasa dengan pemberian
Allah ".
(Riwayat Tirmidzi)
Merasa cukup, puas
dan redha menerima rezeki yang dianugerahkan Allah s.w.t. termasuk kekayaan
rohani yang tidak ternilai harganya.
Sabda Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud : " Bukannya kekayaan itu kerana banyaknya harta,
kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan jiwa ".
(Riwayat Bukhari dan Muslim )
Mengharapkan
Redha Ilahi :
Sebagaimana
mahabbah bertujuan agar memperolehi kasih dan cinta Ilahi maka demikianlah juga
sifat redha bertujuan memperolehi redha Ilahi .
Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud :
" Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadanya,
yang demikian itu bagi orang yang takut kepada Tuhannya ". (Al-Bayyinah : Ayat
8)
Dan firman Allah
s.w.t. lagi tentang orang-orang yang membelanjakan harta semata-mata untuk
memperolehi keredhaan Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Mereka yang
menafkahkan hartanya kerana ingin jadi bersih. Padahal tiada padanya budi
yang patut dibalas.Melainkan semata-mata kerana hendak mencari keredhaan
Tuhannya Yang Maha Tinggi.Dan Tuhannya pun redha kepadanya". (Surah Al-Lail :
Ayat 18-21)
Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud :" Bila Allah cinta kepada sesuatu kaum, mereka
akan diuji . Barang siapa redha menerima ujian maka redha pula kepadanya dan
barang siapa yang murka, maka Allah s.w.t. pun murka kepadanya".
(Riwayat
Tirmidzi)
Redha Kepada
Keluarga Dan Anak-Anak
Redha kepada
keluarga dan anak-anak yang merupakan amanah yang wajib dipikul oleh setiap
individu Muslim yang mana redha dan sabar perlu seiring di dalam membentuk baitu
Muslim dan generasi Rabbani yang memerlukan suatu pengorbanan yang besar.
Begitu juga bagi
anak-anak di dalam menghormati ibubapa seperti yang disebutkan di dalam sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Keredhaan Allah terletak kepada
keredhaan ibubapa ".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan Rasulullah
s.a.w. pernah berkata kepada Ibnu Abbas r.a. :
" Jika kamu sanggup beramal
kerana Allah dengan redha berserta yakin maka lakukanlah. Tetapi jika kamu tidak
sanggup , maka sesungguhnya kesabaran atas sesuatu yang tidak menyenangkan itu
ada kebaikan yang banyak".
Redha Membawa
Nikmat dan Bahagia
Redha Ilahi yang
diperolehi orang yang redha kepada Allah s.w.t. itulah nikmat dan merupakan
kunci kebahagiaan yang sejati. Sesiapa yang diredhai Allah s.w.t., pastilah dia
akan diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Lalu mereka
akan dimasukkan ke dalam syurganya dan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.
Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud : " Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada
Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan
hambaku (yang soleh). Dan masuklah ke dalam syurgaku".
(Surah Al-Fajr :
Ayat 27-30)
Berkat redha itulah
maka di dunia akan mendapat ketenangan jiwa dan di akhirat akan memperolehi
kebahagiaan yang kekal untuk selama-lamanya. Redha mengakui bahawa Allah s.w.t.
sebagai Tuhan yang disembah, Islam sebagai Agama yang benar dan Rasulullah
s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir, maka itulah asas kemanisan iman
yang membawa erti yang besar dan keuntungan yang besar bagi orang yang redha
kerana merasakan kelazatan rohani.
Sabda Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud :" Merasakan kemanisan iman , siapa yang redha
dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama Muhammad sebagai Rasul (Utusan) ".
(Riwayat Muslim)
Rujukan Dari :
Taqarrub Kepada Allah.
© Jabatan Mufti Negeri Melaka