Solat Sunat Dhuha

Assalamualaikum w.b.t.,

Solat sunat Dhuha ini secara asasnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, seperti juga solat-solat yang lain, cuma bacaan yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW selepas Al-fatihah menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah Bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim).
Namum begitu, bacaan ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak tetap. Maksudnya, tidak perlulah kita terikat dengan surah tertentu sahaja dan apa yang penting, solat tersebut mestilah diniatkan dengan betul, dipenuhi syarat-syaratnya dan disempurnakan rukun-rukunnya.

Pada rakaat pertama bolehlah juga dibaca ayatul kursi kerana ayatul kursi ini terlalu terlalu banyak keistimewaannya, semasa turunnya surah ini beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (Kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi. Terdapat 95 buah hadith yang menerangkan fadhilat ayatul kursi ini.

Pada rakaat kedua bacalah surah al-Ikhlas sebab surah ini merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa dengaNya. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.

Berkenaan bacaan doa pula, boleh dibaca mana-mana doa yang berkaitan tetapi adalah lebih afdal sekiranya dapat dibaca doa khusus untuk solat Dhuha seperti dibawah.


Rakaat

Solat sunat Dhuha ini boleh dilakukan dengan 2 rakaat, 4 rakaat, 6 rakaat atau 8 rakaat dan boleh sehingga 12 rakaat (Setiap 2 rakaat, 1 salam). Ia boleh dilakukan mengikut kemampuan.


Waktu Menunaikan Solat Sunat Dhuha

Bersesuaian dengan namanya Dhuha yang bermaksud pagi, waktu yang sesuai solat ini dilakukan adalah selepas terbit matahari dan berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Disebut dalam kitab-kitab fiqah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rump atau atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Jadi, secara mudah difahami waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi sehingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.


Niat Solat Dhuha


Sahaja aku mengerjalan sembahyang sunat dhuha dua rakaat kerana Allah Ta'ala


Doa Selepas Solat Sunat Dhuha


“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”



Kebaikan Solat Sunat Dhuha

Amalan solat sunat Dhuha ini mempunyai fadhilat yang tersendiri tatkala ia dilakukan diwaktu orang lain sibuk dengan urusan kerja seharian.

Allah berfirman dalam Hadith Qursi yang menyebut;
"Wahai anak adam, jangan sesekali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya" (Riwayat al-Hakim dan Tabrani)


Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda;
"Telah berpesan kepadaku temanku (Rasullullah SAW) tiga macam pesanan; Puasa 3 hari setiap bulan, sembahyang dhuha 2 rakaat dan sembahyang witir sebelum tidur"
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Tabrani)

Rasullullah SAW bersabda yang Bermaksud; 
"Siapa saja yang dapat mengerjakan solat dhuha dengan istiqamah, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan."


Rasullullah SAW bersabda lagi;
"Solat dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara solat dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat."

Semoga kita akan sama-sama mendapat manfaat, Insyaallah.

p/s: Solat wajib juga jangan dilupa...

Ustaz Kazim Elias - Marah

Bagi sape nak tau cite Damak, Pak Malau :)